Tuesday, December 29, 2009

Sesi Persekolahan 2010


Seminggu sebelum sesi persekolahan 2010 bermula, para guru telah mula sibuk di sekolah dengan pelbagai aktiviti dan program ..
28 Disember 2009 - Mesyuarat Awal Tahun
29 Disember 2009 - Mesyuarat Kurikulum, Hal Ehwal Murid dan Ko-kurikulum
30 dan 31 Disember 2009 - Mesyuarat Panitia
1 Januari 2010 - Kutipan yuran dan jualan buku
4 Januari 2010 - Bermulanya sesi persekolahan 2010 .. dengan semangat baru ;)

Wednesday, December 16, 2009

Pembinaan Blok Sekolah Yang Baru


Gambar ini diambil pada bulan November yang lepas. Kerja pembinaan sedang rancak berjalan. Harapan semua warga sekolah agar blok bangunan baru dapat disiapkan dengan segera untuk keselesaan bersama ..

Sunday, November 29, 2009

Cuti Akhir Tahun 2009

Pantas sungguh masa berlalu.. tahun 2009 pun hampir menutup tirai. Penggal cuti persekolahan sudah pun bermula pada 21 November yang lalu. Minggu akhir persekolahan, cikgu-cikgu sangat sibuk menguruskan segala macam hal yang melibatkan hal ehwal murid, menulis laporan aktiviti tahun 2009, merancang segala aktiviti untuk tahun hadapan dan menyiapkan kertas kajian tindakan.

Namun demikian, cuti sekolah ini bukan masa untuk bergembira sakan bagi murid tahun 5. Pihak sekolah telah merangka kelas tambahan pada cuti sekolah ini agar murid-murid ini lebih bersedia bila masuk penggal persekolahan tahun hadapan. Terima kasih kepada cikgu-cikgu yang sanggup mengorbankan masa cuti mereka untuk anak didik harapan.

Cuti sekolah ini tentu pelbagai aktiviti yang dirangka oleh cikgu-cikgu SKTG. Tentu ada yang pergi bercuti di tempat peranginan, balik ke kampung, menghadiri jemputan kahwin dan sebagainya. Yang penting, bila naik sesi persekolahan tahun hadapan .. minda cikgu-cikgu semua 'fresh' dan lebih bersemangat untuk berhadapan dengan telatah anak didik.

SELAMAT BERCUTI UNTUK WARGA SK TANJONG GADING ..

Wednesday, November 18, 2009

Hari Anugerah Cemerlang dan Konvokesyen Prasekolah 2009

Tarikh : 17 November 2009
Hari : Selasa
Lokasi : Pusat Sumber SK Tanjong Gading
Masa : 8.00 - 10.00 pagi

Selepas habis UPPM 4 dan sesi 'post-mortem'.. pihak sekolah mengadakan Hari Anugerah Cemerlang dan Konvokesyen Prasekolah sebagai majlis penutup tirai bagi sesi persekolahan 2009. Selepas berhempas pulas seminggu untuk persediaan untuk majlis ini.. akhirnya, majlis ini dapat direalisasikan.

Atas nama permuafakatan antara semua guru dan staf serta komitmen ibu bapa, majlis ini telah berjalan lancar dan jayanya. Ternyata majlis kali ini mendapat impak positif menerusi tinjauan kehadiran ibu bapa (Pusat Sumber yang dijadikan lokasi majlis ini tersangatlah penuh ..). Paling gembira dalam majlis ini tentulah anak-anak didik yang diiktiraf pencapaian mereka dari segi pelajaran dan sahsiah. Sekalung tahniah dan teruskan usaha anda kepada semua murid penerima hadiah. Ucapan terima kasih kepada murid-murid yang terlibat dalam acara persembahan.

Ucapan terima kasih tidak terhingga kepada Yang Dipertua PIBG, Y.Bhg Dato' Haji Muhammad bin Jaafar kepada sudi merasmikan majlis ini.

(p/s: sesi cuti penggal II persekolahan akan bermula tidak lama lagi.. tetapi banyak kerja akhir tahun perlu diuruskan. Laporan program tahun 2009, perancangan program tahun hadapan, kajian tindakan perlu dihantar segera, sesi mengemas dan gotong-royong.. argh, pitam!)

Sunday, November 15, 2009

Hari Sukaneka 2009





Tarikh : 9 November 2009
Hari : Isnin
Lokasi : Dataran Sekolah Agama Tanjong Gading, Ledang
Masa : 7.30 pagi hingga 12.00 tengah hari

Memandangkan keadaan sekolah yang sedang dinaiktaraf, program Sukaneka 2009 telah diadakan di Dataran Sekolah Agama Tanjong Gading (Terima kasih atas budi baik pihak pentadbiran sekolah agama).

Sebanyak 4 rumah pasukan telah mengambil bahagian iaitu rumah merah, biru, hijau dan kuning. Banyak juga acara yang dipertandingkan untuk murid-murid prasekolah, pendidikan khas, tahun 1 hingga tahun 6. Ternyata keempat-empat pasukan sama hebat sama 'hot' (Cikgu pulak yang beraksi lebih sudu dari kuah.. hehe).

Terbukti pada tahun ini rumah biru menjuarai Sukaneka 2009. Sekalung tahniah diucapkan kepada para peserta, pengurus pasukan dan guru-guru rumah biru.


Ucapan terima kasih kepada semua guru dan staf yang bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan Sukaneka 2009. Tidak lupa ucapan terima kasih kepada YDP PIBG kerana sudi menjengah ke acara ini.